Mesyuarat yang telah diadakan pada 9/12/2010 ini merupakan mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland. Antara agenda utama mesyuarat kali ini adalah berkisar berkenaan post-mosterm sesi gotong royong yang telah diadakan beberapa kali pada bulan November serta perbincangan berkenaan majlis Year End Gathering yang dijadualkan pada 24 Disember 2010. Selain itu ahli-ahli perwakilan turut mengemukakan idea dan pandangan berkenaan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan dalam tahun 2011.
Tuesday, December 14, 2010
Monday, November 29, 2010
IWC Winter Bazaar 2010
Sebahagian ahli PERWAKILAN bersama Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland
27 November 2010 - International Woman's Club (IWC) Winter Bazaar telah berlangsung di Hotel Radisson Slavyanskaya, yang mana turut disertai oleh ahli-ahli PERWAKILAN Moscow buat kesekian kalinya. Sepertimana tahun sebelum ini, PERWAKILAN Moscow mengambil bahagian dalam jualan produk-produk makanan yang dimasak oleh ahli-ahli PERWAKILAN dan juga barangan kraf yang dibawa khas dari Malaysia.

Bazaar ini dibuka kepada umum bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Tiket masuk dijual pada harga Rb200. Pelbagai barangan kraf, produk makanan, perhiasan, pakaian dan lain-lain dapat dibeli di acara ini pada harga yang berpatutan. Sebahagian hasil keuntungan dari aktiviti bazaar ini disumbangkan kepada pihak penganjur bagi membantu aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemanusiaan khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan juga wanita.
Friday, November 26, 2010
Sambutan Hari Raya Aidiladha

Aidiladha pada tahun ini disambut secara sederhana di Kedutaan Besar Malaysia Moscow pada 16 November 2010, sehari lebih awal dari sambutannya di Malaysia. Majlis telah dimulakan dengan bacaan takbir hari raya dan solat sunat Aidiladha dan diteruskan dengan bacaan khutbah raya oleh Attache Pertahanan, Kolonel Abdul Manaf. Majlis Aidiladha ini turut disertai hampir 300 pelajar yang berada di sekitar Moscow. Seterusnya para tetamu dijamu dengan hidangan yang telah disediakan oleh pihak PERWAKILAN secara gotong royong , antaranya nasi minyak bersama dalca, ayam masak merah dan acar, serta serba sedikit kuih muih.



Majlis seterusnya disambung pada 19 November 2010 dengan aktiviti memotong dan membahagi daging-daging korban daripada 3 ekor lembu yang telah siap disembelih dan dibersihkan oleh sebuah syarikat penyedia daging halal di Russia. Aktiviti ini turut dibantu oleh sebahagian besar pelajar-pelajar kita. Selesai acara pembahagian daging korban, para tamu dan pelajar-pelajar telah menikmati hidangan sup daging bersama spagetti dan roti serta lain-lain hidangan yang telah disediakan oleh PERWAKILAN.
Tuesday, November 23, 2010
Sesi Gotong Royong





Beberapa siri sesi gotong royong menyediakan masakan lauk pauk serta kuih muih telah dijalankan di bangunan Kedutaan bagi memenuhi beberapa acara penting yang berlangsung sepanjang bulan November 2010 ini.
Sesi gotong royong pertama yang diketuai oleh Y.Bhg Datin Rusamelia Rusland telah berlangsung pada 4 November 2010 sebagai persediaan menyambut delegasi MARA yang diketuai oleh Pengerusinya, YB Dato' Sri Idris Bin Jusoh.
Seterusnya aktiviti ini turut dijalankan pada 12 & 15 November 2010 bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidiladha di mana ahli-ahli perwakilan telah bekerjasama menyiapkan masakan seperti dalca, ayam masak merah dan juga acar mentah (jelatah) serta kuih karipap dan putri ayu.
Aktiviti ini disambung lagi pada minggu berikutnya iaitu pada 23 & 24 November bagi memastikan segala persiapan dan kelengkapan bagi menyertai International Woman Club (IWC) Winter Bazaar yang akan berlangsung pada 27 November 2010 dapat disempurnakan. Pada penyertaan kali ini PERWAKILAN Moscow akan terlibat dalam jualan barangan kraf dan juga produk makanan Malaysia sepertimana tahun-tahun yang lepas. Menu utama jualan makanan tempatan Malaysia kali ini ialah sate dan juga nasi ayam, serta pelbagai kuih muih tradisional antaranya karipap, jemput-jemput pisang, kuih lapis, kuih cara dan lain-lain lagi.
Justeru itu bagi mereka yang berada di Moscow dan ingin menikmati masakan citarasa Malaysia dan ingin turut serta merasai kemeriahan bazaar ini, bolehlah berkunjung ke Radisson Slavyanskaya Hotel pada 27 November ini.
Friday, October 29, 2010
Majlis Meraikan Pengerusi PERWAKILAN Moscow, YBhg. Datin Rusamelia Rusland
28 Oktober 2010 - Satu majlis bagi meraikan Pengerusi PERWAKILAN Moscow yang baru iaitu Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland telah diadakan di Kedutaan Besar Malaysia Moscow. Majlis yang juga merupakan satu sesi ramah mesra bersama ahli-ahli perwakilan ini telah dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin beramai-ramai diketuai oleh Pn. Siti Azanah.
Y.Bhg. Datin Rusamelia dalam ucapannya telah menekankan para ahli agar dapat terus memberikan kerjasasama erat serta saling berkongsi ilmu dan menyumbang idea-idea bernas demi kemajuan perwakilan. Beliau turut menyarankan semua ahli agar dapat terus bersatu padu sebagai sebuah keluarga dan terus aktif mempromosikan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia di bumi Moscow ini.
Selamat datang diucapkan kepada Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland sekeluarga.
Thursday, September 30, 2010
Majlis Jamuan Perpisahan Pn. Maznah Ahmad
Ucapan perpisahan daripada Pn. Maznah
29 September 2010 - Satu majlis jamuan perpisahan telah dianjurkan oleh PERWAKILAN Moscow bagi meraikan Pn. Maznah Ahmad yang kembali ke tanah air kerana mengikuti suami yang telah tamat bertugas di Moscow. Majlis telah dimulakan dengan bacaan surah Yassin beramai-ramai diketuai oleh Pn. Laili Rahmi Abdul Wahab Zen, seterusnya bacaan doa selamat oleh Pn. Siti Azanah Mohd Diah. Acara diteruskan dengan ucapan daripada Naib Pengerusi PERWAKILAN Moscow, Pn. Nor Asimah Petah. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa PERWAKILAN kehilangan seorang ahli yang aktif dan memberi komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh PERWAKILAN sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Selaku Penolong AJK Sosial & Kebajikan, Pn. Maznah telah berjaya mengatur dan memantau beberapa program bermanfaat bagi para ahli. Di samping itu beliau juga telah terlibat secara langsung sebagai pembaca 'proof' di dalam projek penerbitan buku resepi PERWAKILAN.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Maznah Ahmad. Antaranya beliau menyatakan pengalaman yang dikutip sepanjang berada di sini amat bermakna, banyak perkara yang telah dipelajari antaranya erti persahabatan, kepentingan sifat sabar, protokol serta kehidupan bermasyarakat. Segala pengalaman yang dikutip di sini diharapkan agar dapat digunakan secara lebih bermanfaat di masa akan datang.
Majlis kemudian diteruskan dengan acara menganyam ketupat dan pertandingan karaoke lagu raya lantaran mood Hari Raya yang masih terasa. Majlis bersurai setelah selesai sesi fotografi bersama Pn. Maznah, dan para ahli kemudiannya menikmati hidangan yang masih lagi berkonsepkan hari raya yang disediakan secara pot luck oleh ahli-ahli.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Maznah Ahmad. Antaranya beliau menyatakan pengalaman yang dikutip sepanjang berada di sini amat bermakna, banyak perkara yang telah dipelajari antaranya erti persahabatan, kepentingan sifat sabar, protokol serta kehidupan bermasyarakat. Segala pengalaman yang dikutip di sini diharapkan agar dapat digunakan secara lebih bermanfaat di masa akan datang.
Majlis kemudian diteruskan dengan acara menganyam ketupat dan pertandingan karaoke lagu raya lantaran mood Hari Raya yang masih terasa. Majlis bersurai setelah selesai sesi fotografi bersama Pn. Maznah, dan para ahli kemudiannya menikmati hidangan yang masih lagi berkonsepkan hari raya yang disediakan secara pot luck oleh ahli-ahli.
Monday, September 13, 2010
Salam Aidilfitri 2010



Sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia Moscow pada tahun ini berlangsung dalam suasana yang meriah di kalangan ahli-ahli keluarga kedutaan serta sebahagian kecil rakyat Malaysia yang berada di sekitar Moscow. Seramai hampir 500 orang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia di sekitar Moscow dan St.Petersburg serta beberapa orang rakyat Malaysia yang bertugas di Moscow telah turut sama dalam berkongsi kemeriahan dan kegembiraan sambutan Eid Mubarak.
Sambutan Aidilfitri pada 9 September 2010 ini telah dimulakan dengan acara solat sunat aidilfitri serta khutbah Hari Raya yang telah disampaikan oleh Attache Pertahanan, Kolonel Abdul Manaf dan disusuli dengan ucapan daripada Kuasa Usaha Sementara, Encik Abd Razak Abdul Wahab kepada para tetamu yang hadir. Seterusnya pada hadirin telah dijamu dengan pelbagai juadah tradisi hari raya yang telah disediakan oleh ahli-ahli PERWAKILAN antaranya nasi minyak, ayam masak merah, sate, nasi impit serta kek dan kuih muih lain yang pelbagai.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Maklum Balas & Pertanyaan
Terima kasih kerana berkunjung ke blog PERWAKILAN Moscow. Kami mahu memastikan blog ini berguna dan berinformasi sebaik mungkin. Komen anda akan membantu kami untuk meningkatkan mutu penyampaian maklumat dan info sedia ada. Sebarang komen, pendapat dan pertanyaan boleh di salurkan kepada perwakilanmoscowrussia@gmail.com.




