Friday, January 21, 2011

Majlis Perkahwinan Melayu

Ahli PERWAKILAN bersama pengantin baru

Acara Bersanding

Acara Berenjis

Makan Beradab

Memotong Pulut Kuning




18 Januari 2011 - Satu majlis meraikan perkahwinan salah seorang ahli PERWAKILAN iaitu Pn. Sarifa Samsuddin dan pasangannya En. Abd Ghaffar Mat Yaasin telah berlangsung dengan meriahnya di bangunan Kedutaan Besar Malaysia Moscow. Majlis anjuran Tourism Malaysia yang turut dibantu dan disokong sepenuhnya oleh seluruh warga kedutaan dan ahli-ahli PERWAKILAN ini turut menyaksikan kehadiran wakil media Russia yang ingin menyaksikan majlis perkahwinan mengikut adat Melayu dengan lebih dekat. Justeru itu persediaan rapi telah dibuat bagi merealisasikan matlamat tersebut. Ahli-ahli PERWAKILAN turut membantu dalam penyediaan makanan, gubahan hantaran dan penyediaan bunga telur.

Di majlis yang gilang gemilang ini pasangan telah diarak masuk ke dewan dengan paluan kompang serta diiringi oleh pembawa bunga manggar dan barangan hantaran, berlatar belakangkan alunan musik gamelan. Pasangan mempelai kemudiannya disandingkan di atas pelamin yang telah dihias indah. Acara bersanding ini diteruskan dengan acara berenjis di mana para tetamu turut dijemput untuk merenjis kedua-dua mempelai. Selesai acara merenjis tibalah acara makan beradab bersama TYT Dato' Zainol Abidin Omar dan isteri, Datin Rusamelia Rusland. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara memotong pulut kuning serta sesi fotografi bersama pasangan pengantin baru ini. Majlis ini ternyata sangat meriah dan sedikit sebanyak dapat memperkenalkan kepada bangsa asing tentang budaya serta adat masyarakat Melayu yang nyata "tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas".

PERWAKILAN Moscow sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Pn. Sarifa Samsuddin dan suami dan semoga majlis istimewa ini akan kekal menjadi kenangan indah buat anda berdua.

No comments:

Post a Comment

Maklum Balas & Pertanyaan

Terima kasih kerana berkunjung ke blog PERWAKILAN Moscow. Kami mahu memastikan blog ini berguna dan berinformasi sebaik mungkin. Komen anda akan membantu kami untuk meningkatkan mutu penyampaian maklumat dan info sedia ada. Sebarang komen, pendapat dan pertanyaan boleh di salurkan kepada perwakilanmoscowrussia@gmail.com.