Monday, November 29, 2010

IWC Winter Bazaar 2010

Sebahagian ahli PERWAKILAN bersama Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland

27 November 2010 - International Woman's Club (IWC) Winter Bazaar telah berlangsung di Hotel Radisson Slavyanskaya, yang mana turut disertai oleh ahli-ahli PERWAKILAN Moscow buat kesekian kalinya. Sepertimana tahun sebelum ini, PERWAKILAN Moscow mengambil bahagian dalam jualan produk-produk makanan yang dimasak oleh ahli-ahli PERWAKILAN dan juga barangan kraf yang dibawa khas dari Malaysia.


Antara menu utama makanan yang dijual pada hari tersebut ialah sate ayam, nasi ayam, bihun dan spagetti goreng dan juga pelbagai kuih muih tradisional antaranya karipap, popia goreng, jemput-jemput pisang, putri ayu, kuih siput dan lain-lain. Manakala barangan kraf yang diketengahkan ialah produk batik serta pelbagai cenderahati khas Malaysia seperti 'keychain', kemeja T dan lain-lain. Selain itu terdapat juga makanan kering yang turut mendapat perhatian para pengunjung antaranya sardin, susu cair, dan kelapa kering.

Bazaar ini dibuka kepada umum bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Tiket masuk dijual pada harga Rb200. Pelbagai barangan kraf, produk makanan, perhiasan, pakaian dan lain-lain dapat dibeli di acara ini pada harga yang berpatutan. Sebahagian hasil keuntungan dari aktiviti bazaar ini disumbangkan kepada pihak penganjur bagi membantu aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemanusiaan khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan juga wanita.

Friday, November 26, 2010

Sambutan Hari Raya Aidiladha



Aidiladha pada tahun ini disambut secara sederhana di Kedutaan Besar Malaysia Moscow pada 16 November 2010, sehari lebih awal dari sambutannya di Malaysia. Majlis telah dimulakan dengan bacaan takbir hari raya dan solat sunat Aidiladha dan diteruskan dengan bacaan khutbah raya oleh Attache Pertahanan, Kolonel Abdul Manaf. Majlis Aidiladha ini turut disertai hampir 300 pelajar yang berada di sekitar Moscow. Seterusnya para tetamu dijamu dengan hidangan yang telah disediakan oleh pihak PERWAKILAN secara gotong royong , antaranya nasi minyak bersama dalca, ayam masak merah dan acar, serta serba sedikit kuih muih.



Majlis seterusnya disambung pada 19 November 2010 dengan aktiviti memotong dan membahagi daging-daging korban daripada 3 ekor lembu yang telah siap disembelih dan dibersihkan oleh sebuah syarikat penyedia daging halal di Russia. Aktiviti ini turut dibantu oleh sebahagian besar pelajar-pelajar kita. Selesai acara pembahagian daging korban, para tamu dan pelajar-pelajar telah menikmati hidangan sup daging bersama spagetti dan roti serta lain-lain hidangan yang telah disediakan oleh PERWAKILAN.

Tuesday, November 23, 2010

Sesi Gotong Royong


Beberapa siri sesi gotong royong menyediakan masakan lauk pauk serta kuih muih telah dijalankan di bangunan Kedutaan bagi memenuhi beberapa acara penting yang berlangsung sepanjang bulan November 2010 ini.
Sesi gotong royong pertama yang diketuai oleh Y.Bhg Datin Rusamelia Rusland telah berlangsung pada 4 November 2010 sebagai persediaan menyambut delegasi MARA yang diketuai oleh Pengerusinya, YB Dato' Sri Idris Bin Jusoh.
Seterusnya aktiviti ini turut dijalankan pada 12 & 15 November 2010 bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidiladha di mana ahli-ahli perwakilan telah bekerjasama menyiapkan masakan seperti dalca, ayam masak merah dan juga acar mentah (jelatah) serta kuih karipap dan putri ayu.

Aktiviti ini disambung lagi pada minggu berikutnya iaitu pada 23 & 24 November bagi memastikan segala persiapan dan kelengkapan bagi menyertai International Woman Club (IWC) Winter Bazaar yang akan berlangsung pada 27 November 2010 dapat disempurnakan. Pada penyertaan kali ini PERWAKILAN Moscow akan terlibat dalam jualan barangan kraf dan juga produk makanan Malaysia sepertimana tahun-tahun yang lepas. Menu utama jualan makanan tempatan Malaysia kali ini ialah sate dan juga nasi ayam, serta pelbagai kuih muih tradisional antaranya karipap, jemput-jemput pisang, kuih lapis, kuih cara dan lain-lain lagi.

Justeru itu bagi mereka yang berada di Moscow dan ingin menikmati masakan citarasa Malaysia dan ingin turut serta merasai kemeriahan bazaar ini, bolehlah berkunjung ke Radisson Slavyanskaya Hotel pada 27 November ini.

Maklum Balas & Pertanyaan

Terima kasih kerana berkunjung ke blog PERWAKILAN Moscow. Kami mahu memastikan blog ini berguna dan berinformasi sebaik mungkin. Komen anda akan membantu kami untuk meningkatkan mutu penyampaian maklumat dan info sedia ada. Sebarang komen, pendapat dan pertanyaan boleh di salurkan kepada perwakilanmoscowrussia@gmail.com.