Monday, December 27, 2010

Year End Gathering 2010

Poco-poco dari Ahli PERWAKILAN


Persembahan kanak-kanak


Italic

Persembahan kaum bapa
Persembahan nyanyian oleh LRS

24 Disember 2010 - Majlis Year End Gathering 2010 telah berlangsung dalam suasana cukup meriah dengan kerjasama seluruh warga kerja Kedutaan Besar Malaysia Moscow. Sambutan yang meriah ini diceriakan dengan pelbagai persembahan hasil kreativiti keluarga kedutaan yang terdiri daripada HBS (home based staff), LRS (local recruited staff), ahli-ahli PERWAKILAN serta tidak ketinggalan para kanak-kanak yang turut menceriakan suasana. Perhimpunan yang kali kedua diadakan ini ternyata berjaya merapatkan hubungan sesama ahli kedutaan dan keluarga bersama seluruh wargakerja di kedutaan serta turut membina ikatan persahabatan yang harmoni.

Tuesday, December 14, 2010

Perjumpaan Ahli PERWAKILAN ke 5/2010 & Bacaan Yaasin



Mesyuarat yang telah diadakan pada 9/12/2010 ini merupakan mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland. Antara agenda utama mesyuarat kali ini adalah berkisar berkenaan post-mosterm sesi gotong royong yang telah diadakan beberapa kali pada bulan November serta perbincangan berkenaan majlis Year End Gathering yang dijadualkan pada 24 Disember 2010. Selain itu ahli-ahli perwakilan turut mengemukakan idea dan pandangan berkenaan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan dalam tahun 2011.

Monday, November 29, 2010

IWC Winter Bazaar 2010

Sebahagian ahli PERWAKILAN bersama Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland

27 November 2010 - International Woman's Club (IWC) Winter Bazaar telah berlangsung di Hotel Radisson Slavyanskaya, yang mana turut disertai oleh ahli-ahli PERWAKILAN Moscow buat kesekian kalinya. Sepertimana tahun sebelum ini, PERWAKILAN Moscow mengambil bahagian dalam jualan produk-produk makanan yang dimasak oleh ahli-ahli PERWAKILAN dan juga barangan kraf yang dibawa khas dari Malaysia.


Antara menu utama makanan yang dijual pada hari tersebut ialah sate ayam, nasi ayam, bihun dan spagetti goreng dan juga pelbagai kuih muih tradisional antaranya karipap, popia goreng, jemput-jemput pisang, putri ayu, kuih siput dan lain-lain. Manakala barangan kraf yang diketengahkan ialah produk batik serta pelbagai cenderahati khas Malaysia seperti 'keychain', kemeja T dan lain-lain. Selain itu terdapat juga makanan kering yang turut mendapat perhatian para pengunjung antaranya sardin, susu cair, dan kelapa kering.

Bazaar ini dibuka kepada umum bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Tiket masuk dijual pada harga Rb200. Pelbagai barangan kraf, produk makanan, perhiasan, pakaian dan lain-lain dapat dibeli di acara ini pada harga yang berpatutan. Sebahagian hasil keuntungan dari aktiviti bazaar ini disumbangkan kepada pihak penganjur bagi membantu aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemanusiaan khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan juga wanita.

Friday, November 26, 2010

Sambutan Hari Raya Aidiladha



Aidiladha pada tahun ini disambut secara sederhana di Kedutaan Besar Malaysia Moscow pada 16 November 2010, sehari lebih awal dari sambutannya di Malaysia. Majlis telah dimulakan dengan bacaan takbir hari raya dan solat sunat Aidiladha dan diteruskan dengan bacaan khutbah raya oleh Attache Pertahanan, Kolonel Abdul Manaf. Majlis Aidiladha ini turut disertai hampir 300 pelajar yang berada di sekitar Moscow. Seterusnya para tetamu dijamu dengan hidangan yang telah disediakan oleh pihak PERWAKILAN secara gotong royong , antaranya nasi minyak bersama dalca, ayam masak merah dan acar, serta serba sedikit kuih muih.



Majlis seterusnya disambung pada 19 November 2010 dengan aktiviti memotong dan membahagi daging-daging korban daripada 3 ekor lembu yang telah siap disembelih dan dibersihkan oleh sebuah syarikat penyedia daging halal di Russia. Aktiviti ini turut dibantu oleh sebahagian besar pelajar-pelajar kita. Selesai acara pembahagian daging korban, para tamu dan pelajar-pelajar telah menikmati hidangan sup daging bersama spagetti dan roti serta lain-lain hidangan yang telah disediakan oleh PERWAKILAN.

Tuesday, November 23, 2010

Sesi Gotong Royong


Beberapa siri sesi gotong royong menyediakan masakan lauk pauk serta kuih muih telah dijalankan di bangunan Kedutaan bagi memenuhi beberapa acara penting yang berlangsung sepanjang bulan November 2010 ini.
Sesi gotong royong pertama yang diketuai oleh Y.Bhg Datin Rusamelia Rusland telah berlangsung pada 4 November 2010 sebagai persediaan menyambut delegasi MARA yang diketuai oleh Pengerusinya, YB Dato' Sri Idris Bin Jusoh.
Seterusnya aktiviti ini turut dijalankan pada 12 & 15 November 2010 bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidiladha di mana ahli-ahli perwakilan telah bekerjasama menyiapkan masakan seperti dalca, ayam masak merah dan juga acar mentah (jelatah) serta kuih karipap dan putri ayu.

Aktiviti ini disambung lagi pada minggu berikutnya iaitu pada 23 & 24 November bagi memastikan segala persiapan dan kelengkapan bagi menyertai International Woman Club (IWC) Winter Bazaar yang akan berlangsung pada 27 November 2010 dapat disempurnakan. Pada penyertaan kali ini PERWAKILAN Moscow akan terlibat dalam jualan barangan kraf dan juga produk makanan Malaysia sepertimana tahun-tahun yang lepas. Menu utama jualan makanan tempatan Malaysia kali ini ialah sate dan juga nasi ayam, serta pelbagai kuih muih tradisional antaranya karipap, jemput-jemput pisang, kuih lapis, kuih cara dan lain-lain lagi.

Justeru itu bagi mereka yang berada di Moscow dan ingin menikmati masakan citarasa Malaysia dan ingin turut serta merasai kemeriahan bazaar ini, bolehlah berkunjung ke Radisson Slavyanskaya Hotel pada 27 November ini.

Friday, October 29, 2010

Majlis Meraikan Pengerusi PERWAKILAN Moscow, YBhg. Datin Rusamelia Rusland



28 Oktober 2010 - Satu majlis bagi meraikan Pengerusi PERWAKILAN Moscow yang baru iaitu Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland telah diadakan di Kedutaan Besar Malaysia Moscow. Majlis yang juga merupakan satu sesi ramah mesra bersama ahli-ahli perwakilan ini telah dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin beramai-ramai diketuai oleh Pn. Siti Azanah.

Y.Bhg. Datin Rusamelia dalam ucapannya telah menekankan para ahli agar dapat terus memberikan kerjasasama erat serta saling berkongsi ilmu dan menyumbang idea-idea bernas demi kemajuan perwakilan. Beliau turut menyarankan semua ahli agar dapat terus bersatu padu sebagai sebuah keluarga dan terus aktif mempromosikan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia di bumi Moscow ini.
Selamat datang diucapkan kepada Y.Bhg. Datin Rusamelia Rusland sekeluarga.

Thursday, September 30, 2010

Majlis Jamuan Perpisahan Pn. Maznah Ahmad

Ucapan perpisahan daripada Pn. Maznah

Cenderahati buat yang diraikan

Sesi fotografi bersama Pn. Maznah Ahmad

Belajar menganyam ketupat bersama Pn. Siti Azanah
Pemenang acara cabutan bertuah - Pn. Nabesa
Johan Karaoke Lagu Raya - Cik Najwa

Naib Juara Karaoke Lagu Raya - Pn. Siti Arfah

Menikmati hidangan yang disediakan


29 September 2010 - Satu majlis jamuan perpisahan telah dianjurkan oleh PERWAKILAN Moscow bagi meraikan Pn. Maznah Ahmad yang kembali ke tanah air kerana mengikuti suami yang telah tamat bertugas di Moscow. Majlis telah dimulakan dengan bacaan surah Yassin beramai-ramai diketuai oleh Pn. Laili Rahmi Abdul Wahab Zen, seterusnya bacaan doa selamat oleh Pn. Siti Azanah Mohd Diah. Acara diteruskan dengan ucapan daripada Naib Pengerusi PERWAKILAN Moscow, Pn. Nor Asimah Petah. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa PERWAKILAN kehilangan seorang ahli yang aktif dan memberi komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh PERWAKILAN sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Selaku Penolong AJK Sosial & Kebajikan, Pn. Maznah telah berjaya mengatur dan memantau beberapa program bermanfaat bagi para ahli. Di samping itu beliau juga telah terlibat secara langsung sebagai pembaca 'proof' di dalam projek penerbitan buku resepi PERWAKILAN.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Maznah Ahmad. Antaranya beliau menyatakan pengalaman yang dikutip sepanjang berada di sini amat bermakna, banyak perkara yang telah dipelajari antaranya erti persahabatan, kepentingan sifat sabar, protokol serta kehidupan bermasyarakat. Segala pengalaman yang dikutip di sini diharapkan agar dapat digunakan secara lebih bermanfaat di masa akan datang.


Majlis kemudian diteruskan dengan acara menganyam ketupat dan pertandingan karaoke lagu raya lantaran mood Hari Raya yang masih terasa. Majlis bersurai setelah selesai sesi fotografi bersama Pn. Maznah, dan para ahli kemudiannya menikmati hidangan yang masih lagi berkonsepkan hari raya yang disediakan secara pot luck oleh ahli-ahli.

Monday, September 13, 2010

Salam Aidilfitri 2010




Sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia Moscow pada tahun ini berlangsung dalam suasana yang meriah di kalangan ahli-ahli keluarga kedutaan serta sebahagian kecil rakyat Malaysia yang berada di sekitar Moscow. Seramai hampir 500 orang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia di sekitar Moscow dan St.Petersburg serta beberapa orang rakyat Malaysia yang bertugas di Moscow telah turut sama dalam berkongsi kemeriahan dan kegembiraan sambutan Eid Mubarak.
Sambutan Aidilfitri pada 9 September 2010 ini telah dimulakan dengan acara solat sunat aidilfitri serta khutbah Hari Raya yang telah disampaikan oleh Attache Pertahanan, Kolonel Abdul Manaf dan disusuli dengan ucapan daripada Kuasa Usaha Sementara, Encik Abd Razak Abdul Wahab kepada para tetamu yang hadir. Seterusnya pada hadirin telah dijamu dengan pelbagai juadah tradisi hari raya yang telah disediakan oleh ahli-ahli PERWAKILAN antaranya nasi minyak, ayam masak merah, sate, nasi impit serta kek dan kuih muih lain yang pelbagai.

Wednesday, August 25, 2010

Majlis Berbuka Puasa & Tarawikh


Kunjungan bulan Ramadhan yang mulia disambut penuh kesyukuran oleh seluruh warga Kedutaan Malaysia di Moscow ini. Justeru itu, majlis berbuka puasa dan bertarawikh beramai-ramai telah diadakan pada setiap hari Sabtu sepanjang bulan Ramadhan bagi meraikan bulan yang penuh keberkatan ini. Hidangan juadah berbuka pula disediakan oleh seluruh ahli perwakilan secara potluck.

Kerjasama erat sesama ahli PERWAKILAN serta seluruh warga kerja kedutaan dalam menyempurnakan tugasan serta memberi sumbangan ikhlas dalam menjayakan majlis ini amat dihargai. Selain itu, semangat anak-anak yang turut gigih menyempurnakan ibadah puasa juga amat dibanggakan. Golongan kanak-kanak ini amat tabah melaksanakan tanggungjawab tersebut walau pun dalam jangka masa yang agak panjang tahun ini, iaitu hampir mencecah 17 jam, disertai cuaca yang panas dan kering akibat heatwave yang melanda.
Diharapkan dengan keberkatan bulan yang mulia ini persefahaman serta ukhuwah yang terjalin terus utuh serta kehidupan seluruh warga Malaysia di bumi Moscow ini diberkati dan dipermudahkan.

Sunday, August 8, 2010

Majlis Ramah Mesra Bersama Y.Bhg. Datin Sri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad




6 Ogos 2010 - Satu majlis ramah mesra bersama YBhg. Datin Sri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad, isteri kepada YB Dato' Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Malaysia telah berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia, Moscow. Majlis yang dihadiri sebahagian besar ahli-ahli PERWAKILAN Moscow ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama serta komitmen seluruh ahlinya.

Ketibaan YBhg. Datin Sri di Kedutaan Besar Malaysia Moscow telah disambut meriah oleh para ahli PERWAKILAN Moscow, diketuai oleh YBhg. Datin Saripah Mohd Jaafar. Majlis telah dimulai dengan bacaan doa oleh Pn. Laili Rahmi Abdul Wahab Zen dan disusuli oleh ucapan aluan oleh YBhg. Datin Saripah.

Seterusnya YBhg. Datin Sri Siti Rubiah telah menyampaikan ucaptama kepada para Ahli PERWAKILAN Moscow, antaranya menekankan peranan para ahli dalam memberikan didikan kepada generasi muda khususnya anak-anak dan para pelajar berkenaan budaya serta nilai hidup positif masyarakat kita. Hal ini menurut beliau sangat penting kerana sebahagian generasi muda yang berada di luar negara mudah terpengaruh dengan cara hidup masyarakat asing, serta cenderung membawa pulang corak hidup asing yang nyata tidak bersesuaian dengan nilai budaya masyarakat Malaysia. Beliau turut menekankan peri pentingnya para ahli untuk mempelajari serta mendapatkan sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat sepanjang berada di perantauan, yang mana ilmu yang berguna ini pastinya akan dapat digunakan secara positif di tanah air kelak.

YBhg. Datin Saripah kemudiannya telah menyampaikan cenderahati berupa sebuah buku kompilasi resepi ahli-ahli PERWAKILAN Moscow kepada YBhg. Datin Sri Siti Rubiah, dan majlis diteruskan dengan acara memotong pulut kuning oleh kedua-keduanya. Majlis seterusnya dihiburkan dengan persembahan dua buah lagu nyanyian para ahli PERWAKILAN. Seterusnya majlis diserikan dengan acara poco-poco yang turut disertai oleh Y.Bhg. Datin Sri Siti Rubiah.

Majlis ramah mesra ini diakhiri dengan sesi fotografi ahli-ahli PERWAKILAN Moscow bersama Penaung PERWAKILAN, Y.Bhg. Datin Sri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad dengan seribu kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Thursday, July 8, 2010

Majlis Jamuan Perpisahan YBhg. Datin Saripah Mohd Jaafar & Pn. Aminah Md. Yassin



6 Julai 2010 - PERWAKILAN Moscow telah menganjurkan satu jamuan perpisahan bagi meraikan dua ahlinya yang akan kembali ke tanah air iaitu YBhg. Datin Saripah Mohd Jaafar dan juga Pn. Aminah Md. Yassin. Majlis yang bertemakan 'Merah Jambu' ini telah dimulakan dengan acara bacaan doa selamat oleh Pn. Siti Azanah serta diteruskan dengan ucapan Pn. Nor Asimah Petah selaku Naib Pengerusi PERWAKILAN. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Aminah serta YBhg. Datin Saripah. Dalam ucapan YBhg Datin, beliau menekankan kepada ahli-ahli perwakilan mengenai kepentingan peranan menjaga keluarga serta memelihara hubungan baik sesama ahli walau di mana pun berada, serta turut memelihara kelembutan tingkah laku dan budi pekerti sebagai satu warisan budaya yang sangat berharga.

Majlis seterusnya diteruskan dengan persembahan 'slide show' mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perkhidmatan YBhg. Datin selaku Pengerusi Perwakilan Moscow semenjak tahun 2005.
Menu hidangan yang menjadi sajian para ahli Perwakilan pada hari tersebut bertemakan 'Makanan Barat' antaranya pizza, roti bun, sup cendawan, ayam dan daging panggang, spagetti serta salad, karamel dan tart sebagai pencuci mulut.
Sejurus selesai majlis tersebut ahli-ahli Perwakilan memenuhi agenda seterusnya iaitu aktiviti melawat sekitar Lenin Hill dan Red Square dengan menaiki Hummer Limousine yang nyata merupakan satu pengalaman baru bagi ahli-ahli Perwakilan.

Friday, June 25, 2010

Wawancara bersama Pengerusi PERWAKILAN Moscow

Berikut adalah petikan wawancara bersama YBhg. Datin Saripah Mohd Jaafar, Pengerusi PERWAKILAN Moscow, bagi majalah DOMOVOY Lifestyle Monthly terbitan Jun 2010 :



Wednesday, June 23, 2010

Majlis perpisahan YBhg. Datin Saripah anjuran APWG & Lawatan ke Galeri Seni Mr. Gregory Pototsky






22 Jun 2010 - Satu majlis perpisahan anjuran APWG telah diadakan di Bangunan Kedutaan Singapura bagi meraikan YBhg. Datin Saripah Mohd Jaafar yang akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi. Di majlis ini YBhg. Datin telah memberikan ucapan penghargaannya kepada seluruh warga kerja APWG yang telah berusaha bersunguh-sungguh menjayakan agenda serta aktiviti yang banyak mendatangkan faedah kepada ahli komuniti di Russia ini.
Selesai sahaja acara di majlis anjuran APWG ini kami telah mendapat undangan istimewa daripada Mr. Gregory Pototsky, seorang penggiat seni Russia untuk melawat galeri seninya. Undangan yang tidak disangka itu tidak kami lepaskan dan kami berasa sangat bertuah dapat mengenali beliau dan isteri, Olga Bare serta melihat dengan dekat segala hasil seninya.



Mr. Gregory juga telah turut bermurah hati melukis potret YBhg. Datin Saripah serta menghadiahkannya buat kenangan.



Biodata Mr. Gregory Pototsky dapat dilihat disini http://www.pototsky.ru/html-eng/eng-biography.html

Maklum Balas & Pertanyaan

Terima kasih kerana berkunjung ke blog PERWAKILAN Moscow. Kami mahu memastikan blog ini berguna dan berinformasi sebaik mungkin. Komen anda akan membantu kami untuk meningkatkan mutu penyampaian maklumat dan info sedia ada. Sebarang komen, pendapat dan pertanyaan boleh di salurkan kepada perwakilanmoscowrussia@gmail.com.