Ahli rombongan bergambar berlatar belakangkan Wencelas Monument di Wenceslas Square
Pada 16 April 2010 PERWAKILAN Moscow telah menganjurkan lawatan ke Prague, Republik Chezh. Rombongan ini diketuai oleh Y.Bhg. Datin Saripah Jaafar selaku Pengerusi PERWAKILAN Moscow dan turut disertai oleh 9 orang ahli yang lain.
Lawatan ke luar dari bumi Russia ini merupakan aktiviti yang julung kali dianjurkan oleh PERWAKILAN Moscow. Lawatan ini boleh dianggap sebagai aktiviti santai serta percutian singkat ahli-ahli bagi menikmati keindahan kota Prague yang terkenal sebagai bandar tercantik di sekitar negara Eropah. Di samping itu aktiviti ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan sesama ahli.
Perjalanan ke Prague mengambil masa lebih kurang 2 jam 45 minit melalui udara, dan semua ahli rombongan selamat tiba ke destinasi lebih kurang jam 9.30 pagi waktu tempatan. Rombongan disambut oleh wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Prague dan juga pemandu pelancong yang telah ditempah khas oleh koordinator rombongan.
Perjalanan dari lapangan terbang Prague ke hotel penginapan iaitu Hotel Yasmin hanya mengambil masa 30 minit. Suasana persekitaran yang aman dan damai, disertai pemandangan yang memukau mata mengasyikkan ahli rombongan yang agak keletihan kerana keluar dari rumah seawal jam 5 pagi waktu Moscow.
Setibanya rombongan ke hotel penginapan, dan setelah selesai urusan check-in dan menyimpan beg, kami memulakan aktiviti memanaskan badan dengan meninjau sekitar bandar Prague untuk mencari restoran yang sesuai bagi menjamu selera, memandangkan waktu makan tengahari telah tiba.
Lawatan ke sekitar bandar Prague bersama pemandu pelancong memakan masa lebih kurang 3 jam. Aktiviti dimulakan dengan menaiki bas pelancong selama lebih kurang 20 minit dan di teruskan secara berjalan kaki. Bandar Prague memang sesuai diterokai melalui berjalan kaki memandangkan kemudahan pejalan kaki yang banyak tersedia. Walau pun keletihan namun setiap ahli rombongan bersemangat dan tidak pernah mengeluh kepenatan. Berbaloi berjalan sambil menikmati udara yang segar dan nyaman di sekitar bandar Prague. Pemandu pelancong turut memberikan info dan sejarah setiap tempat yang dikunjungi.
Pada sebelah malam kami dijemput untuk menikmati makan malam bersama TYT Duta Besar Malaysia ke Prague. Jam 8 malam kami bergerak dari hotel penginapan menuju ke kediaman TYT Ambassador Zainal Abidin Bakar dan isteri Puan Sakhiah Mohd Soom. Alhamdulillah hidangan ala Malaysia yang dihidangkan membuka selera kami yang letih dan juga jet lag. Waktu tempatan lewat 2 jam dari Moscow. Rombongan bergerak pulang apabila jam sudah hampir 10 malam waktu tempatan.
Hari kedua lawatan merupakan hari yang di nanti oleh peserta rombongan. Hari pertama dah cuci mata melihat kedai-kedai kristal bohemia. Maka hari kedua telah di gazetkan sebagai hari untuk membeli belah. Kami menyelinap ke setiap kedai kristal untuk mendapatkan harga yang istimewa.
Selesai membeli belah, kami pulang ke hotel. Bagi yang tidak puas membeli-belah esok masih ada. Namun begitu kami dalam keadaan yang gusar kerana mendapat berita lapangan terbang Prague di tutup sementara akibat kesan letupan gunung berapi di Iceland. Kami terpaksa menunggu esok hari untuk mendapat pengesahan sama ada lapangan terbang akan dibuka semula atau masih di tutup.
Hari ketiga lawatan tiba dan menjelang tengahari kami sudah mendapat pengesahan bahawa percutian kami terpaksa di panjangkan memandangkan lapangan terbang akan terus di tutup sehingga di beritahu. Mujurlah hotel penginapan memberikan kadar potongan 50% bagi tetamu yang menghadapi masalah untuk pulang ekoran dari penutupan lapangan terbang. Tepat jam 2 petang bas dan pemandu pelancong tiba untuk membawa kami ke lapangan terbang. Tujuannya adalah untuk menempah dan mengesahkan penerbangan pulang kami ke Moscow. Alangkah terkejut bila kami tiba di kaunter dan mendapat berita penerbangan pulang hanya kosong pada hari Sabtu dan kami juga terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan kecil ekoran penerbangan penuh. Tuhan sahaja yang tahu perasaan setiap ahli rombongan, lebih lagi memikirkan anak-anak dan suami yang di tinggalkan. Kami pasrah dan berdoa agar perjalanan kami di permudahkan.
Pada hari seterusnya kami meneruskan rutin menjelajah bandar Prague dan mula mencari barang keperluan peribadi memandangkan kami perlu tinggal lebih lama dari waktu yang di jangka. Alhamdulillah pegawai dan TYT Duta Besar di Prague banyak membantu kami. Terima kasih yang tak terhingga dari PERWAKILAN Moscow atas bantuan yang di hulurkan. Isnin malam yang juga merupakan hari ke empat kami di Prague kami mendapat khabar gembira. Lapangan terbang telah dibuka semula dan TYT Ambassador Dato Khalis, Duta Besar Malaysia ke Russia telah berjaya mendapatkan bantuan membolehkan kami pulang ke Moscow ke esokkan hari iaitu pada hari Selasa. Ahli rombongan menarik nafas lega. Jutaan terima kasih dan penghargaan kami tujukan kepada TYT Duta Besar Malaysia ke Russia atas bantuan mempercepatkan perjalanan pulang kami.
Jam 5 pagi Selasa, 21 April 2010 kami telah siap bersedia di lobby menanti kenderaan untuk bergerak menuju ke lapangan terbang. Walaupun di khabarkan agar tidak meletak harapan yang tinggi kerana penerbangan ini masih mempunyai risiko, namun kami optimis dan yakin sambil berdoa agar segala urusan di permudahkan. Alhamdulillah berkat doa ahli keluarga dan juga rakan-rakan, urusan daftar masuk semua ahli rombongan tiada masalah. Kami mengucap syukur dan tidak sabar untuk berlepas pulang.
No comments:
Post a Comment